Lelaki Seperti Dia




Petang tadi, aku merayap lepas balik kerja. Dari Pantai Dalam sampailah ke Gasing Indah. Langkah terhenti di Mydin. Macam nak beli barang dapur. Persediaan untuk sediakan menu diet aku. Masuk dan melilau mencari barang.

Tiada apa perancangan. Tiada menu yang berlegar di fikiran. Aku melihat ke bahagian sejuk beku dan sayur-sayuran. Pling pling pling - idea untuk menu diet datang. Aku tengok bebola daging. Aku tengok ayam kisar. Aku tengok ada timun dan tomato.

Akupun belek senarai menu dalam telefon bimbit. Barang yang aku tengok tadi semua boleh dimakan. 'Halal' dalam Diet Atkins. Rendah karbohidrat. Tinggi protein. Tak nak gemuk nak kurus. Hehe. Kenalah berkorban sedikit.

Sedang aku sibuk memilih, aku terpandang susuk tubuh yang kurus dan tinggi lampai sambil memakai topi keledar. Di sisi dia kelihatan seorang anak kecil. Lebih kurang 7 tahun mungkin. Baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Kalendar persekolahan 2016 baru 4 hari berlangsung. Anak kecil itu sibuk bertanya itu dan ini kepada ayahnya. Si ayah dengan penuh sabar menjawab satu persatu persoalan anaknya. Tiba-tiba si anak mahukan sekotak jus. Kecil sahaja. 

Anaknya terus meminta. Si ayah membenarkan dengan syarat mesti minum di Mydin. Tidak boleh bawa pulang. Aku terdengar perbualan mereka.

Ayah: Minum sini ya! Kalau bawa balik, nanti adik nak.

Anak: Okey.

Dalam hati aku, kenapa dia suruh anaknya minum di situ? Aku rasa dia tidak mahu si kakak berebut dengan si adik. Tetapi kenapa tidak dibeli dua kotak sahaja? Satu untuk kakak dan satu untuk adik. Disinilah persoalan ingin dirungkai.

Kalau mengikut logik akal, harga sekotak kecil jus buah-buahan pun lebih kurang RM 3.50. Kalau dibeli 2, RM 7.00 sudah. Pada zaman ekonomi tidak berapa baik ini, RM 50.00 umpama RM 0.50. Si ayah mungkin sedang berjimat cermat. Banyak perbelanjaan penting perlu difikirkan.

Tambahan pula sesi persekolan baru bermula, duit mengalir seperti air. Aku tengok dia pun tidak membeli banyak barang. Cukup-cukup sahaja untuk keperluan. Gaji bulan lepas mungkin nak habis dah. Aku pandang dia dari kaunter. Dalam hati, "aku respek sama kau". Pandai melayan anak dan bijak berbelanja.

Dia pandang aku. Aku pun berlalu pergi dari Mydin. Aku menghabiskan minuman yang dibeli sebelum itu.

Tak lama kemudian, dia dan si kecil pun keluar. Mereka mengambil tempat di kaki lima. Duduk bersebelahan.

Si anak mula bertanya itu dan ini. Si ayah dengan sabar menjawab satu persatu. Anak pun mula menikmati jusnya. Benar-benar menikmati. Aku memandang dari atas motor. Aku teringat ayah aku. Cara dia mengurus kewangan dan sabar melayan kerenah anak-anak. 

Aku larut seketika. Anak kecil itu dalam bayangan ialah aku dan si ayah itu ayah aku. Teringat kisah lama. Kadang-kadang tidak perlu wang ringgit berjuta untuk bahagia. Momen begitu pun sudah menyentuh jiwa. Si ayah bijak memainkan peranan sebagai ketua keluarga. Tahu untuk berlaku adil dengan anak-anak. Tahu untuk jimat berbelanja. Tahu melayan anak. Tahu erti tanggungjawab yang paling pentingnya.

Mana nak cari lelaki seperti ini? Semoga hidup kau akan terus bahagia di samping keluarga. Wang bukan segalanya, kasih sayang masih elemen utama yang diperlukan untuk kekal bahagia pada zaman serba mencabar ini.

Persoalannya mampukah aku menjadi seperti lelaki dia? Lengkap segala walaupun tanpa harta berjuta. Bijak memainkan peranannya.

Tanda soal?

Aku belajar ilmu kehidupan hari ini. Terima kasih abah. Terima kasih kau, si lelaki budiman. You made my day today.


Comments

Popular posts from this blog

Esok Semalam

Tips untuk Menghilangkan Dengkuran Dengan Jus Buah-Buahan